Pemotongan gelang 'pink' di Zon Melor, Mawar ditangguh
Alor Setar: Proses pemotongan gelang merah jambu (pelepasan kuarantin) bagi penduduk di Zon Melor dan Zon Mawar di Amanjaya, Sungai Petani yang dijadualkan hari ini terpaksa ditangguh susulan terdapat notifikasi kes baharu Covid-19 membabitkan zon berkenaan.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohd Fikri Ujang berkata, ini kerana terdapat keputusan yang memerlukan siasatan dan tindakan lanjut selepas pihaknya menerima keputusan saringan kedua dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di kawasan itu.
"Buat masa ini mohon patuhi saranan dari bilik gerakan Pejabat Kesihatan Kuala Muda," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sementara itu, menurut kenyataan yang dikongsi menerusi Facebook Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Muda, penangguhan itu dilakukan bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan sehingga selesai.
"Bagaimanapun bagi Zon Kenanga pemotongan gelang merah jambu (pelepasan kuarantin) berjalan seperti biasa hari ini.
"Sila rujuk atau dengar hebahan dari semasa ke semasa. Kepada Tuhan kita berserah," kata kenyataan itu.
PKPD secara pentadbiran di Amanjaya, Sungai Petani dilaksanakan sejak 28 Ogos hingga 10 September membabitkan tiga zon iaitu Zon Kenanga, Zon Mawar dan Zon Melor.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagaimanapun Khamis lalu mengumumkan PKPD di Aman Jaya, dilanjutkan selama tiga hari sehingga 13 September kerana saringan belum selesai.
